Politik

Ismail Sabri percaya rakyat kembali yakin kepada BN

TAMPIN — Perdana Menteri Ke 9, Datuk Seri Ismail Sabri yakin sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) kembali pulih berdasarkan maklum balas daripada rakyat termasuk di negeri-negeri yang menjadi kubu kuat pembangkang.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, sokongan secara terbuka rakyat begitu jelas dilihat semasa beliau turun berkempen di beberapa lokasi antaranya di Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Saya sudah pergi ke beberapa tempat seperti di Negeri Sembilan, dua kawasan Parlimen iaitu Kuala Pilah dan Tampin. Saya pergi ke Terengganu di Besut.

“Nampak progresnya begitu baik. Saya lihat dari segi tempat ke tempat yang saya pergi, sokongan secara terbuka kepada BN amat jelas, walaupun negeri-negeri tertentu seolah-olah parti lain itu begitu kuat tapi apabila saya pergi, sambutannya amat memberangsangkan.

“Jadi saya rasa ini merupakan isyarat kepada undi yang akan diberikan 12 Ogos nanti,” katanya selepas menghadiri program Kenduri Rakyat di Felda Sungai Kelamah di sini malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar.

Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, sukar untuk menjangkakan gelombang yang sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 turut berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Saya mungkin tak pergi ke semua negeri tetapi di kawasan yang saya pergi seperti di di FELDA Sungai Kelamah, sambutannya meriah dan responnya begitu positif pada BN.

“Di sini dan juga Besut merupakan kubu UMNO. Jadi sambutan yang memberangsangkan dan saya harap sambutan di sini dan Terengganu sama di tempat lain,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button