Ceramah dalam masjid, polis buka siasatan terhadap Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Polis sudah menjalankan siasatan terhadap Fahmi Fadzil berhubung dakwaan satu ceramah yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital itu di Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian itu.
“Kita sudah mendapatkan rakaman ucapan dalam masjid berkenaan dan akan menelitinya untuk siasatan lanjut.
“Kita akan beri maklum balas serta perkembangan mengenai kes terbabit dalam masa terdekat,” katanya lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.
Fahmi Fadzil dalam sidang media pada program Hari Sektor Awam Malaysia hari ini berkata, beliau sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung siasatan kes itu.
Fahmi berkata, beliau sedia memberi keterangan sekiranya dipanggil berhubung dakwaan beliau menyampaikan ceramah berunsur politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor, Ahad lepas.
“Insya-Allah sekiranya dipanggil, saya sedia untuk tampil,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa keping gambar Fahmi yang mendakwa beliau berucap mengenai isu politik di ruang solat utama sebuah masjid.
Sehubungan itu, JAIS dilaporkan telah menerima aduan berhubung perkara tersebut dan memanggil nazir masjid itu bagi mendapatkan keterangan.
Sementara itu, Fahmi menafikan beliau menggunakan masjid untuk berkempen sebaliknya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu kerana berdekatan dengan lokasi program seterusnya.
Beliau kemudiannya dijemput oleh kariah masjid untuk mengulas isu kumpulan muzik kontroversi, The 1975 yang bercumbu semasa membuat persembahan pada Festival Good Vibes, baru-baru ini.