Muhyiddin sifatkan tuntutan RM200 juta oleh Anwar sebagai merepek
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional menyifatkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM200 juta oleh Perdana Menteri berhubung pelupusan hutang peneroka Felda ke atasnya adalah cubaan menegakkan benang yang basah.
Menerusi surat jawapan balas Ahli Parlimen Pagoh itu melalui firma guamannya, Tetuan Roslin Dahlan Saravana Partnership, surat tuntutan oleh Anwar bertujuan memutar belitkan isu pelupusan hutang berkenaan.
“Adalah jelas anak guam anda (Anwar) telah tersilap dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda. Dokumen yang disiarkan melalui kenyataan media anak guam anda bertarikh 20 Julai lalu dan siaran media Kementerian Kewangan pada tarikh sama adalah berkenaan sukuk dan bukan tentang hutang peneroka Felda yang sememangnya telah dilupuskan pada 2021.
“Anak guam anda kini masih enggan menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan cuba memutar belitkan perkara ini seperti menegakkan benang yang basah.
“Anda seharusnya tahu bahawa tuntutan anak guam anda untuk RM200,000,000 adalah merepek dan jika difailkan sedemikian merupakan satu penyalahgunaan dan mempermainkan proses mahkamah,” kata surat tersebut.
Sehubungan itu, firma guaman terbabit menyatakan, mereka telah mendapat arahan untuk meneruskan saman terhadap Anwar.
Pada 21 Julai lalu, Anwar menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin menuntut bekas Perdana Menteri itu memohon maaf dan membayar ganti rugi kerana memfitnahnya berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Berdasarkan surat tersebut, Anwar mendakwa Muhyiddin telah memfitnahnya apabila mengeluarkan kenyataan media bahawa Presiden PKR itu tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam tempoh yang diberikan.
Selain permohonan maaf dan ganti rugi RM200 juta, Anwar turut menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutannya dan kesemua kenyataan yang dikatakan fitnah serta membayar kos guaman Anwar.
Sekiranya Muhyiddin gagal berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, satu tindakan saman akan dibuat terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Pada 18 Julai lalu, Muhyiddin menghantar surat tuntutan terhadap Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.
Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.