Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia terima pelajar perintis
UKKM ditubuhkan dengan hasrat melahirkan pelapis kepimpinan koperasi yang kompeten
CYBERJAYA – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) mencatat sejarah tersendiri dengan kemasukan kumpulan pertama pelajarnya, baru-baru ini.
Barisan pelajar perintis tersebut merupakan pelajar pengajian peringkat sarjana dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dengan pengkhususan Pengurusan Koperasi.
Lebih manis, antara pelajar yang turut mendaftar pada hari tersebut adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, K. Saraswathy.
“Kemasukan pertama ini merupakan langkah permulaan UKKM dalam melahirkan pelapis kepimpinan koperasi yang cekap dan kompeten.
“Ini juga merupakan salah satu langkah untuk mengangkat martabat sektor koperasi di Malaysia yang kini telah berusia 100 tahun,” kata Naib Canselor UKKM, Datuk Prof. Dr. Azali Mohamed, dalam satu kenyataan.
UKKM yang mempunyai kampus di Petaling Jaya, Selangor, merupakan sebuah universiti berkebitaraan koperasi pertama di Malaysia yang dimiliki oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Malaysia.
Selain itu, ia juga merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang memfokuskan bidang keusahawanan koperasi secara jitu dan akan menjadi peneraju bagi menaiktaraf dan melahirkan golongan profesional dalam sektor koperasi.
Kewujudan UKKM bukan sahaja dapat melahirkan pelapis kepimpinan koperasi yang kompeten, malah mampu meletakkan Malaysia sebagai salah satu hub pendidikan koperasi.
UKKM dijangka akan menerima pelajar perintis untuk pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Muda pada bulan September tahun ini.
Terdapat lima program pengajian yang ditawarkan oleh UKKM iaitu:
1. Diploma Keusahawanan Koperasi
2. Diploma Pengurusan Koperasi
3. Bachelor of Business Administration (Coopetaive Management)
4. Bachelor of Business Administration (Cooperative Entrepreneurship)
5. Master in Business Administration
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus yang ditawarkan boleh melayari portal UKKM.