Ketepikan ego, kepentingan kerabat demi seluruh bangsa – PM
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia mengambil pengajaran daripada peristiwa pengorbanan suci Nabi Ibrahim, Hajar dan Nabi Ismail untuk menjadi asas keyakinan dalam mengemban amanah dan menunaikan cita-cita para pewaris bangsa.
Perdana Menteri berkata, ini kerana perjuangan ke hadapan yang menuntut semua pihak agar mengetepikan ego dan kepentingan kerabat dan keluarga, demi kekuatan seluruh bangsa terutamanya mereka yang lemah dan terpinggir.
“Firman Allah Azza wa Jalla: “Tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah daging dan darah haiwan yang dikorbankan itu, akan tetapi yang sampai kepadaNya adalah ketaqwaan kamu pada amalan (surah al-Hajj ayat 37).
“Menyingkap pesan agung ini, maka tanggal 10 Zulhijah saban tahun kita melaksanakan ibadah korban sebagai memperingati pengorbanan suci kekasih Allah Nabi Ibrahim, Hajar dan Ismail AS dalam ketaatan hakiki kepada Sang Khalik.
“Meski serba kekurangan, di tanah serba gersang dalam daerah yang sepi tidak berpenghuni, namun hakikatnya tetap subur dibasahi keimanan dan kasih sayang serta keikhlasan jiwa menurut perintah yang Maha Esa,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan semua rakyat Malaysia yang menunaikan haji di tanah suci beroleh haji yang mabrur dan semoga selamat pulang ke tanah air.