Jenayah & Mahkamah

Kemenangan PAS di Kuala Terengganu dibatalkan

KUALA TERENGGANU – Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini membatalkan kemenangan Ahli Parlimen PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim di Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Firuz Jaffril hari ini membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.

Pada 3 Januari, Barisan Nasional (BN) memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya PRU15 di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, antara isu yang dibangkitkan dalam petisyen adalah dakwaan yang PAS menyogok pengundi menerusi bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dengan program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa antara 15 hingga 17 November tahun lalu, iaitu beberapa hari sebelum hari mengundi.

Dalam pada itu sekiranya Ahmad Amzad tidak memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari, Suruhanjaya Pilihan Raya boleh mengumumkan satu pilihan raya kecil untuk diadakan di kerusi Parlimen itu.

Keputusan untuk Kuala Terengganu merupakan petisyen pertama terhadap keputusan PRU15 yang dibenarkan mahkamah.

Selain Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman, BN juga memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan pilihan raya di Gua Musang, Putrajaya, Masjid Tanah dan Segamat.

Show More

Related Articles

Back to top button