Jenayah & Mahkamah

Kes SRC: Shafee luah rasa kecewa permohonan semakan Najib ditolak

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, selepas menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak sabitan bersalah kes penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Bhd.

Menurut peguam bela Najib Razak itu, beliau amat kecewa dengan keputusan penghakiman 4-1, namun berasa senang kerana ada pihak yang menentang.

Katanya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan yang tepat dengan  memetik Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan yang membenarkan mahkamah menghalang ketidakadilan dan penyalahgunaan proses perbicaraan semasa membuat penghakiman.

“Ini menunjukkan ketidakadilan telah berlaku berhubung kes Najib.

“Keadilan bukan sahaja untuk mengetahui sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, tetapi juga mengenai proses memberikan perbicaraan paling adil,” katanya kepada pemberita di perkarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Ditanya adalah pasukan pembelaan Najib akan membuat semakan semula, Shafee berkata, beliau akan mempertimbangkan tindakan seterusnya tanpa mengulas lanjut mengenai tindakan itu.

Najib seterusnya akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 melainkan dia mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Show More

Related Articles

Back to top button