Luar Negara

Kerajaan Taliban kuatkuasa larangan mainkan muzik pada majlis perkahwinan

KABUL – Kerajaan Taliban mula menguatkuasakan larangan memainkan muzik dalam majlis perkahwinan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Pembangunan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat menegaskan, pemilik dewan diarahkan supaya tidak membenarkan muzik dimainkan dalam majlis perkahwinan.

Permainan muzik dalam acara perkahwinan disifatkan kumpulan berkenaan sebagai bertentangan dengan hukum Islam.

Menurut tafsiran kumpulan itu, muzik hanya boleh dihasilkan menerusi suara manusia serta hanya untuk memuji Allah.

Pada tahun lalu, kerajaan Taliban menasihatkan pemilik perniagaan untuk menghindari muzik dalam perhimpunan awam, namun, peraturan itu tidak dikuatkuasakan dengan ketat, lapor portal al Jazeera.

Bagi menguatkuasakan larangan itu, pihak polis Taliban akan menggeledah mana-mana dewan perkahwinan di Kabul, Afghanistan dalam usaha mereka menguatkuasakan larangan memainkan muzik.

“Jika tidak ada muzik dalam perkahwinan, maka apakah perbezaan antara upacara perkahwinan dan upacara pengebumian?” tanya pengurus sebuah dewan perayaan di ibu kota Afghanistan.

Namanya dirahsiakan atas alasan keselamatan.

Taliban turut mengharamkan puluhan aktiviti riadah serta sosial di Afghanistan semasa pemerintahan mereka dari 1996 hingga 2001 termasuk bermain layang-layang, menonton drama bersiri di televisyen, gaya potongan rambut pelbagai dan memainkan muzik.

Kaum wanita dan gadis-gadis Afghanistan berhadapan dengan sekatan paling ketat termasuk dilarang melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah dan universiti serta tidak dibenarkan bekerja dalam pelbagai sektor.

Pada April lalu pula, sebuah stesen radio yang dikendalikan oleh wanita di timur laut Afghanistan ditutup kerana, menurut pegawai Taliban, stesen berkenaan memainkan muzik pada bulan kemuliaan Ramadan.

Show More

Related Articles

Back to top button