Punca sebenar UMMO kalah kerana mempunyai bekas SU yang hanya boleh buat andaian tanpa logik akal – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak Datuk Seri Ahmad Maslan yang bercakap tanpa fakta dan statistik apabila mendakwa UMNO tidak akan kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu jika Dewan Rakyat dibubarkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Ismail Sabri berkata, kenyataan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, bahawa Barisan Nasional (BN) mampu menang 112 kerusi adalah tidak tepat kerana gabungan parti itu masih belum mampu menang walaupun memenangi PRN Johor dan Melaka.
“PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU.
“Keadaan politik negara amat dinamik. PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu. PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu.
“Inilah punca sebenar kekalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan itu mendakwa UMNO tidak akan kalah seteruk ini jika kerajaan pada ketika itu ikut keputusan bersama membubarkan Dewan Rakyat selepas PRN Melaka dan Johor.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu turut menyoal sama ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran BN mampu menang 112 kerusi kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.
Ismail Sabri yang mempertahankan tindakannya tidak membubarkan Dewan Rakyat ketika itu berkata, langkah yang diambilnya itu susulan keadaan ekonomi yang dalam proses pemulihan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Sepatutnya proses pemulihan diteruskan
bukan dengan membubarkan Parlimen.
Usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil.
“Buktinya, ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara malah antara yang tertinggi di dunia tetapi usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan,” ujarnya.