
UMNO perlu berlapang dada, terima hakikat kekalahan PRK Sungai Bakap – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menekankan UMNO perlu berlapang dada dan menerima hakikat susulan kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap baru-baru ini.
Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, meskipun ada pihak yang menyalahkan UMNO, terdapat beberapa perkara utama yang menyebabkan pengundi menolak calon Kerajaan Perpaduan, antara lain kenaikan kos sara hidup dan masalah berkaitan tarif dan bekalan air di Pulau Pinang.
“Kenaikan kos sara hidup tersebut berkait dengan pengapungan harga diesel yang diumumkan bagi tujuan melaksanakan subsidi bersasar. UMNO menyokong inisiatif subsidi bersasar ini.
“Walaubagaimanapun, kita perlu terima hakikat bahawa ada kelemahan dalam kita menguruskan kesan terhadap kenaikan harga barangan. Begitu juga dalam soal tarif dan bekalan air yang saya percaya Kerajaan Negeri akan mengambil langkah yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Khaled merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beluran, Sabah.
Dalam ucapan beliau semasa mesyuarat tersebut, Khaled mengingatkan para perwakilan bahawa UMNO adalah sebuah parti perjuangan dan bukan sekadar parti politik.
Kata beliau, sudah menjadi lumrah dalam sebuah perjuangan, adakala menang dan adakalanya kita kalah, akan ada masa pasang dan surut.
“Tetapi perjuangan melalui UMNO tetap akan diteruskan kerana keberadaan kita ini tidak bergantung kepada keputusan pilihan raya. Melompat bila kalah. Datang bila menang.
“Kita bersama UMNO atau membuat sesuatu pendirian kerana kita kasih dan sayang kepada bangsa, kita ingin berbakti dan mahu membina bangsa yang mandiri. Dan ini lebih mudah dilakukan jika kita mempunyai kuasa,” ujarnya.
Selain itu, Khaled turut berkata, beliau turut menyarankan semua pemimpin dan ahli UMNO Beluran serta perwakilannya untuk merapatkan saf, menarik lebih ramai orang muda terhadap parti dan seterusnya meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Mudah-mudahan, melalui usaha itu, UMNO Beluran akan bangkit dan menyumbang kepada kemenangan UMNO di Sabah. Insya-Allah,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |