Kastam kaji penggunaan teknologi eseal bagi banteras aktiviti penyeludupan
PUTRAJAYA – Sebagai tanda komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan di negara ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) sedang mengkaji dan menguji teknologi penjejak bernama eseal.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penggunaan teknologi tersebut adalah bagi menggantikan sil timah yang digunakan sebelum ini.
Jelasnya, selain membantu dalam memantau pergerakan logistik kontena dan lori-lori, penggunakan teknologi tersebut juga boleh meningkatkan pungutan hasil negara.
Tambah Ahmad, teknologi yang dibangunkan oleh syarikat tempatan tersebut juga telah digunakan secara meluas di lima negara Afrika Timur seperti Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Republic Democratic of Congo.
“Pelaksanaan eseal di Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Congo telah meningkatkan kutipan cukai sebanyak 20 peratus,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad mengadakan lawatan kerja di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini, pada Isnin.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan diiringi Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Sazali Mohamad.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihak Kastam masih belum mempunyai perincian berhubung tempoh percubaan alat berkenaan, namun beliau berharap teknologi tersebut dapat digunakan secepat mungkin.
“Prosesnya sudah beberapa bulan dan ini baru kali pertama diumunkan akan ada kewujudan alat itu dan kita harap tidak akan mengambil masa yang lama. Harapan kita lagi cepat lagi baik.
“Sekiranya eseal dilaksanakan penggunaannya di JKDM, secara tidak langsung ia akan dapat meningkatkan keselamatan kargo dan kebolehkesanan pergerakan kontena dan lori.
“Dagangan juga dapat tiba ke destinasi dengan tepat pada masanya dan maklumat pergerakan juga dapat dipantau,” jelasnya lagi.