KDN sita alat mainan seks, libat rampasan bernilai RM115,000
SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) berjaya menumpaskan satu kegiatan penjualan alat mainan seks dalam talian melalui Ops Maya pada 19 Disember tahun lalu.
Menurut Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Nik Yusaimi Yusof, nilai rampasan alat mainan seks berkenaan dianggarkan sebanyak RM115,000.
Katanya, hasil serbuan di sebuah unit rumah teres dua tingkat di Kota Warisan, di sini, telah membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkuan 50-an sebagai suspek utama.
Lelaki terbabit kemudiannya telah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 2 Februari lalu dan telah mengaku bersalah serta dihukum denda sebanyak RM5,000.
“Hasil rampasan tersebut melibatkan alat mainan seks pelbagai bentuk seperti patung seks, alat kemaluan lelaki dan wanita serta lain-lain alat mainan seks yang dilarang di negara ini.
“Hasil risikan juga mendapati kegiatan in sudah beroperasi seiak akhir tahun 2022. Alat mainan seks ini dipercayai buatan negara China dan Thailand,” katanya.
Untuk rekod, rampasan kali ini merupakan rampasan alat mainan seks terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Nik Yusaimi berkata, pihak KDN tidak pernah mengeluarkan lesen bagi penjualan alat mainan seks di negara ini, justeru penjual dalam talian dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan penjualan barang yang boleh memudaratkan kemoralan masyarakat.
Dalam pada itu, KDN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan penjualan dan pengedaran alat mainan seks untuk menghubungi pihak kementerian di talian 03-80008000.