Berita Semasa

Pelan strategik KUSKOP capai 30 peratus, manfaat kepada hampir 200,000 penerima

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah mencapai 30 peratus dengan penerimaan manfaat oleh 196,621 individu sejak diperkenalkan awal tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedict berkata, antara kumpulan yang dilibatkan melalui 185 program yang dirangka dalam usaha pemerkasaan ekonomi itu adalah golongan usahawan, usahawan mikro, kecil, sederhana (PMKS), koperasi, projek start-up, usahawan informal dan juga belia.

“Setakat 30 April lalu, pelaksanaan program di bawah pelan bertemakan “Berdaya Maju, Transformatif dan Responsif” atau ringkasannya “BFF”, telah mencapai 30 peratus kemajuan pelaksanaan.

“Program ini merangkumi lima teras strategik, 24 strategi dan 185 program yang mana projek dipantau serta dinilai mengikut enam petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

“Ia bertujuan menyediakan ekosistem yang lebih kondusif, meningkatkan daya tahan dan daya saing usahawan pasca pandemik Covid-19, selain memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan,’’ katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Surian Ahmad.

Atas pencapaian itu, Benedict mengucapkan tahniah kepada semua agensi di bawah kementeriannya iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia, IKMa, TEKUN, UDA Holdings, Bank Rakyat, INSKEN, SME Bank, SME Corp, PERNAS dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Saya berterima kasih kepada semua agensi terlibat yang menjayakan inisiatif dan juga intervensi ini. Sesungguhnya, pencapaian ini menunjukkan bahawa setiap agensi telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik dan berkesan.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab memacu agenda pembangunan usahawan dan koperasi, saya pasti kita semua sedang melaksanakan segala perancangan khususnya strategi dan inisiatif yang telah direncanakan di bawah Pelan Strategik KUSKOP 2023 dengan sebaiknya,’’katanya.

Sementara itu Benedict berkata, KUSKOP turut diberikan peranan yang signifikan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang mana pelbagai intervensi akan dilaksanakan agar prestasi pertumbuhan PMKS dan koperasi kembali seperti sebelum pandemik sekaligus mencapai sasaran yang ditetapkan pada tahun 2025.

Katanya, dalam aspek pembangunan kapasiti dan perluasan pasaran, Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang diterajui oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah dilancarkan di seluruh negara.

“Program ini memberi peluang kepada koperasi dan usahawan memasarkan produk keperluan asas pada harga berpatutan kepada komuniti dan masyarakat setempat selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,’’ katanya.

Sebanyak 4 siri program JMKU dilaksanakan setakat April 2023 dan berjaya mencapai nilai jualan keseluruhan sebanyak RM1.9 juta,’’ katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, misi perdagangan ke Turkiye yang diketuai oleh SME Corp. dan Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI)
melibatkan 10 syarikat PKS telah berjaya menjana RM1.1 bilion jumlah nilai dagangan.

“Misi ini merupakan sebahagian daripada usaha SME Corp. untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pra-eksport serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk menerokai pasaran global,’’ katanya.

Benedict berkata, KUSKOP juga telah melancarkan kempen ‘Mari Beli Lokal’ pada 22 Mac 2023 di bawah platform keusahawanan digital MyMall yang setakat ini mempunyai 467 peniaga aktif dengan nilai jualan sebanyak RM2.58 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button