Agihan kerusi DUN Negeri Sembilan di peringkat akhir – Aminuddin
SEREMBAN – Perbincangan mengenai agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan kini di peringkat akhir.
Laporan Bernama menyebut, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai berkata, hasil perbincangan akan diserahkan kepada Majlis Presiden PH untuk dimuktamadkan.
Pengerusi PH negeri dan naib presiden PKR itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, di sini semalam.
Ditanya mengenai agihan kerusi bersama Barisan Nasional (BN) untuk PRN negeri, Aminuddin yang juga Pengerusi PKR negeri berkata ia bergantung kepada perbincangan di peringkat pusat.
“Perbincangan itu bukan hanya di negeri ini tetapi melibatkan keseluruhan enam negeri yang akan menghadapi PRN,” katanya.
Selain Negeri Sembilan, lima negeri lain yang bakal mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Mandat kerajaan Negeri Sembilan akan berakhir Jun ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki dimenangi BN.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat masih berteka-teki sama ada kekal bertanding pada PRN kali ini atau sebaliknya.
“Saya tak tahu lagi, sama ada saya bertanding atau tidak, Insya-Allah kalau ada rezeki adalah tetapi orang cakap rezeki tidak salah alamat,” katanya.