Imigresen ambil tugas daftar pelarian
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen (Imigresen) akan memulakan pendaftaran pelarian dan pencari suaka bagi mendapatkan maklumat sebenar penempatan kumpulan itu di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, KDN telah diberi tanggungjawab oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan pendaftaran tersebut termasuk mengeluarkan kad identiti kepada pemohon.
Beliau berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha diputuskan Kabinet untuk melengkapkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dan tidak lagi bergantung kepada data yang sebelum ini dipegang oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri pada 11 April lalu dan isu ini juga dibincangkan semalam dalam mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Langkah itu dirasakan perlu kerana kita (kerajaan) tidak mempunyai ‘akses’ kepada data pelarian yang dipegang oleh badan antarabangsa itu kerana Malaysia bukan ahli Konvensyen Pelarian,” katanya pada majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) di sini hari ini.
Saifuddin berkata, kerajaan sebelum ini pernah melakukan projek pendaftaran pelarian melalui Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) dan telah berjaya merekod kira-kira 30,000 pelarian.
Jumlah itu bagaimanapun katanya jauh lebih kecil berbanding angka yang berdaftar dengan UNHCR iaitu kira-kira 185,000.
“Jurang itu sangat besar. Jadi MKN membuat ketetapan bahawa tugas baharu KDN adalah mendaftarkan pelarian ini.
“Kita (Imigresen) ada kelebihan kerana ada pejabat dan kakitangan di seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, pengumpulan data granular itu juga diperlukan kerajaan untuk mempertimbangkan (belum diluluskan) sekiranya golongan pelarian tersebut dapat diberikan peluang pekerjaan dalam sektor-sektor seperti perladangan dan pembinaan.
“Di satu sisi, kita ada sektor pertanian, pembinaan yang memerlukan pekerja. Sektor-sektor ini meminta pekerja dan meluluskan ketibaan.
“Dan di sisi lain, terdapat pelarian yang telah meninggalkan negara mereka dan untuk kita mempertimbangkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan, perlulah terlebih dahulu memerlukan data terperinci,” katanya.
Mengulas mengenai pendedahan aktivis masyarakat mengenai lambakan pelarian Rohingya di kediaman rakyat di Bagan Dalam, Pulau Pinang beberapa hari lalu, Saifuddin menasihatkan orang ramai termasuk NGO tidak mengambil tindakan sendiri sebalinya menyerahkan kepada pihak berkuasa.