Tokoh perniagaan Erwan Tahir kini kuasai TBC Elektrik
KUALA LUMPUR – Tokoh perniagaan terkenal, Datuk Seri Dr. Erwan Tahir kini melebarkan sayap peniagaan kumpulannya ke sektor industri barangan elektrik menerusi usahasama di antara ERWAN Berhad dan TBC Elektrik Sdn Bhd.
Menurut Erwan, menerusi usaha sama itu kedai rangkaian elektrik itu dikenali sebagai ERWAN TBC Elektrik Sdn Bhd.
“ERWAN menguasai sebanyak 51 peratus saham dalam ERWAN TBC Elektrik Sdn Bhd dan sekali gus sebagai pemegang saham utama syarikat usahasama tersebut,” katanya hari ini.
TBC Elektrik mula beroperasi pada tahun 2006 yang diasaskan oleh pengarah
urusannya Rico Lee yang berpengalaman dalam industri pasaran kedai elektrik di
negara kita.
Rangkaian kedai elektrik itu juga merupakan satu jenama yang terbesar bagi segmen ini di Malaysia dan mempunyai 20 cawangan di seluruh negara dengan mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM130 juta bagi tahun 2022.
“Saya melihat ERWAN TBC Elektrik Sdn Bhd mempunyai peluang yang sangat luas untuk menjadi kedai barangan elektrik nombor 1 di Malaysia kerana mempunyai para pelanggan yang setia dalam beberapa tahun ini” kata Erwan.
Tambah beliau lagi, bagi mempertingkatkan operasi syarikat, tahun ini ERWAN TBC Elektrik akan melaksanakan Warehouse Management System (WMS) dan Order Management System (OMS) dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1 juta.
Katanya, langkah itu adalah untuk
memudahkan lagi urusan pembelian dan penghantaran kepada pelanggan.
Pada masa yang sama kesemua gudang ERWAN TBC Elektrik sedia ada akan
mempunyai Automated Smart Warehouse (ASW) seperti yang dilaksanakan di negara Eropah dan Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, katanya, bagi mengembangkan lagi perniagaan dalam pasaran barangan elektrik pihaknya, akan membuka sebanyak 5 kedai baharu dalam penggal kedua tahun ini dan sebanyak 30 buah lagi kedai di seluruh Lembah Klang dan 2 buah kedai di Johor Bahru dalam masa 2 tahun ini.
“Saya menjangkakan dengan pembukaan beberapa kedai baharu pada tahun ini dan dengan promosi yang dijalankan diseluruh negara, nilai jualan kami akan
bertambah diantara RM150 juta ke RM160 juta pada tahun ini.
“Sasaran ERWAN TBC Elektrik adalah untuk menjual barangan elektrik ini melalui “SuperApps” yang akan diperkenalkan sedikit masa lagi bagi membolehkan para pembeli untuk melakukan pembelian barang-barang elektrik secara atas talian.
“Ini akan lebih memudahkan para pelanggan terutamanya golongan muda yang tidak mempunyai masa untuk ke kedai untuk melakukan pembelian barangan elektrik secara atas talian,” ujarnya.
Sementara itu, Rico Lee yang juga Pengarah Urusan ERWAN TBC Elektrik Sdn Bhd menyatakan usahasama di antara ERWAN dan TBC Elektrik adalah sangat bertepatan memandangkan kumpulan ERWAN mempunyai pelbagai jenis perniagaan yang mampu menjadikan jenama ini lebih berdaya saing.
“ERWAN itu sendiri adalah satu nama besar di Malaysia dengan pelbagai produk dipasarkan di dalam dan di luar negara selama ini. Produk jenama ERWAN banyak terdapat di dalam pasaran di Amerika Syarikat dan di beberapa negara Eropah,” ujarnya.