Semakan sabitan kes SRC Najib: Masalah audio ganggu prosiding
PUTRAJAYA – Semua mata tertumpu di Istana Kehakiman hari ini, dalam cubaan Datuk Seri Najib Tun Razak membatalkan sabitan bersalah ke atasnya dalam kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, berlaku gangguan audio ketika peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah. Masalah audio tersebut walaubagaimanapun telah diselesaikan selepas 20 minit.
Najib selaku pemohon diwakili barisan peguam bela yang diketuai Muhammad Shafee manakala pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram.
Semakan tersebut dibentangkan di hadapan panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Berdasarkan permohonan yang difailkan sebelum ini, Najib memohon agar keputusan yang dibuat pada 23 Ogos 2022 oleh lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat disemak semula dan beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.
Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.
Beliau yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, turut memohon agar dirinya dibebaskan daripada hukuman penjara yang sedang dijalani sekarang sementara menunggu permohonan semakan itu dimuktamadkan.
Najib turut didenda RM210 juta selepas didapati bersalah kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.