Lebih 250 roket Hizbullah hujani Tel Aviv
BEIRUT – Kumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan semalam melancarkan lebih 250 serangan roket ke arah Israel yang mengakibatkan sejumlah rumah di sekitar Tel Aviv musnah atau terbakar.
Serangan itu adalah tindakan balas sehari selepas serangan udara bertali arus Israel yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 nyawa di tengah Beirut.
Israel turut melancarkan serangan ke kawasan pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu kuat Hizbullah, menunjukkan rejim itu terus memperhebat bedilan ke atas Lubnan selama dua minggu berturut-turut.
Sementara itu, usaha rundingan gencatan senjata yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menunjukkan kemajuan.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell memaklumkan bahawa cadangan gencatan senjata AS kini menunggu kelulusan akhir daripada Israel.
Dalam perkembangan lain, media Israel melaporkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengadakan mesyuarat Kabinet keselamatan untuk membincangkan situasi semasa.
Konflik yang semakin memuncak ini terus meningkatkan ketegangan di rantau tersebut, dengan kedua-dua pihak saling berbalas serangan tanpa tanda-tanda penghujung.