Berita Semasa

Malaysia dijangka rekod 87,000 unjuran kematian akibat AMR menjelang 2030

PUTRAJAYA – Sebanyak 87,000 unjuran kematian diramalkan bakal melanda negara bagi tempoh 2020 hingga 2030, jika tiada sebarang usaha dibuat bagi menangani kes Kerintangan Antimikrob (AMR).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, angka tersebut adalah bersamaan dengan 0.26 peratus daripada populasi negara yang kini dianggarkan berjumlah 33 juta.

Jelas beliau, ia adalah berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kajian yang dijalankan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat (WPRO).

“Malaysia bersama beberapa negara lain seperti Vietnam dan Filipina turut mempunyai data unjuran masing-masing. Sebagai contoh, Vietnam dengan populasi 98.86 juta diunjurkan mencatatkan 296,581 kematian akibat AMR dalam tempoh yang sama.

“Angka-angka ini adalah hasil simulasi unjuran, bukan angka sebenar, namun ia memberi gambaran jelas bahawa tanpa langkah intervensi lebih serius dan menyeluruh, ancaman ini boleh menjadi realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024 di Putrajaya, hari ini.

AMR disebabkan oleh pesakit sengaja mengambil antibiotik walaupun tiada keperluan bagi kes jangkitan biasa atau tidak menghabiskan dos mengikut tempoh yang ditetapkan doktor.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, selain mampu mengakibatkan maut, AMR turut memberi kesan besar terhadap ekonomi.

“Rantau Pasifik Barat dijangka menanggung kerugian ekonomi sebanyak AS$148 bilion akibat beban penyakit dan kos ekonomi yang berkait dengan rintangan antimikrob,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menggesa agar satu usaha yang lebih proaktif dilaksanakan bagi memerangi AMR, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Show More

Related Articles

Back to top button