Jasad Nur Arina ditemukan 7 km dari lokasi kejadian
GERIK – Jasad Nur Arina Azizan, 20, yang lemas ketika berkelah bersama keluarganya ditemukan di Sungai Rui, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat wanita itu ditemukan 4 petang tadi kira-kira 7 kilometer (km) dari lokasi kejadian
di Sungai Air Beruk, Kampung Kerunai di sini.
Beliau berkata, mayat ditemukan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kerunai tersangkut pada dahan pokok di dalam air berhampiran tebing sungai.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti terdekat di Kampung Dusun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan akan dihantar ke Hospital Gerik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Nur Arina dilaporkan hanyut ketika melakukan aktiviti menaiki pelampung menelusuri sungai Sungai Air Beruk bersama ibu, adik dan dua saudara ketika berkelah di situ bersama 11 lagi ahli keluarga yang lain.