Undang-undang Thailand tetapkan individu miliki dua pil kuda dianggap sebagai pengedar
SUNGAI GOLOK – Undng-undang negara Thailand menetapkan, sesiapa yang memiliki dua biji pil kuda sudah dikira sebagai pengedar jika berjaya dicekup pihak berkuasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan, walaupun undang-undang penyalahgunaan dadah di negera itu hampir sama dengan negara lain, namun ianya lebih tegas dalam mengekang aktiviti tidak bermoral itu.
“Di sini (Thailand) jika memiliki lebih daripada sebiji ia sudah dikira pengedar yang membawa maksud dadah tersebut digunakan untuk dijual bukan sekadar kegunaan sendiri,” katanya semasa sidang akhbar di sini, lapor portal SH Online.
Jelas beliau, peniaga atau pengedar dadah berdepan hukuman penjara melebihi 10 tahun atau sepanjang hidup sekiranya ditangkap oleh pihak polis.
Jadsadavit turut memberitahu, semakin banyak jumlah dadah yang dirampas, hukuman yang diterima sangat berat termasuk membabitkan tempoh pesalah dipenjarakan.
“Kebanyakan rakyat Malaysia yang ditahan di negara ini adalah kerana positif dadah bukan memiliki dadah.
“Hal ini kerana mereka takut memandangkan undang-undang membabitkan pengedaran bahan terlarang itu di Thailand agak ketat,” katanya.
Berkenaan tempoh reman yang lama, jelas beliau, mereka yang ditahan bersama dadah lebih daripada sebiji akan direman dalam tempoh tiga bulan atau 84 hingga 90 hari.
Katanya, tempoh reman yang panjang membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara adil serta meneliti maklumat dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada semua suspek mengumpul bukti jika mereka benar tidak bersalah.