Berita Semasa

Wanita hilang: Operasi SAR fokus di Sungai Rui

GERIK – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Air Beruk, Kampung Kerunai, semalam diteruskan hari ini dengan tumpuan di kawasan Sungai Rui.

Mangsa, Nur Arina Azizan, 20, dipercayai dihanyutkan arus deras sehingga melepasi muara Sungai Air Beruk sebelum memasuki Sungai Rui, yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, keadaan arus deras dan air yang keruh menyukarkan operasi pasukan penyelamat.

“Berdasarkan keadaan arus semalam dan hari ini, kita percaya mangsa sudah memasuki Sungai Rui. Dari situ, jarak ke Sungai Perak adalah sekitar 16 kilometer.

“Selain arus deras, cabaran lain termasuk air keruh di Sungai Rui yang mengehadkan penglihatan, serta banyak sisa kayu dan pokok tumbang di tebing sungai yang mungkin menyebabkan mangsa tersangkut,” katanya memtik BH online.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika mangsa bersama empat ahli keluarga bermandi-manda menggunakan pelampung. Ibu mangsa, Saripah Ahmad, 48, cuba menyelamatkan anaknya, namun turut dihanyutkan arus sebelum berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Menurut Sabarodzi, operasi SAR hari kedua yang melibatkan jarak 14 kilometer di Sungai Rui ditangguhkan pada jam 6.30 petang tadi dan akan disambung semula jam 8 pagi esok.

“Kami akan menambah logistik termasuk empat bot JBPM, menjadikan keseluruhannya enam bot, selain meningkatkan keanggotaan kepada 25 orang. Operasi ini turut dibantu 30 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM juga mungkin digunakan bagi membantu usaha pencarian susulan keadaan air yang sangat keruh,” katanya lagi.

Beliau menambah, pihaknya turut menghadapi kesukaran di kawasan pusaran air yang menghalang akses pasukan penyelamat ke lokasi mangsa yang berkemungkinan terperangkap.

“Jika mangsa berada di kawasan ini kita akan mempertimbangkan kaedah lain untuk mengeluarkannya,” katanya.

JBPM Perak komited untuk meneruskan operasi sehingga mangsa berjaya ditemukan.

Show More

Related Articles

Back to top button