Kumpulan keempat MALBATT 850-12 dihantar ke Lubnan
SUBANG – Kumpulan keempat kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12
dihantar bagi menjalani misi sebagai anggota pengaman di Lubnan hari ini.
Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, majlis penghantaran itu yang diadakan di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, di sini disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
“Kumpulan keempat kontinjen MALBATT 850-12 diketuai oleh Timbalan Komander
MALBATT 850-12, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin dengan kekuatan seramai 209 anggota, terdiri daripada tujuh pegawai dan 202 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP),” katanya.
Katanya, kontinjen MALBATT 850-12 secara keseluruhannya berkekuatan 854 anggota, terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP, termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam daripada Kementerian Pertahanan.
“Atur gerak Kontinjen MALBATT 850-12 telah dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penghantaran kumpulan pertama pada 6 November lalu sehingga
penerimaan kumpulan terakhir kontinjen MALBATT 850-11 pada 20 November ini
menggunakan pesawat Batik Air,” katanya.
Dalam pada itu katanya, pertukaran itu dilakukan kerana tempoh penugasan kontinjen MALBATT 850-11 telah tamat dan memerlukan penggantian kontinjen MALBATT 850-12.
Katanya, pertukaran itu juga selaras dengan ketetapan Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang turut melibatkan semua negara yang menyertai UNIFIL dengan mengambilkira semua faktor dan situasi semasa.
“Bagi memastikan kelancaran misi, semua anggota kontinjen MALBATT 850-12 telah menjalani latihan intensif, selain persiapan mental dan fizikal sebelum diaturgerakkan.
“Penglibatan MALBATT di bawah UNIFIL bukan sahaja melambangkan sokongan
berterusan Malaysia terhadap usaha pengaman PBB, tetapi juga memperlihatkan peranan proaktif negara ini dalam mempromosikan kestabilan dan keselamatan antarabangsa melalui pendekatan diplomatik serta penyelesaian konflik secara aman,” katanya.