Berita Semasa

Tuah iSMART julang NALI Best Of The Best Award

PUTRAJAYA – Bertemakan ‘Memperkasa pengajaran & hubungan penyelidikan melalui inovasi’, PdP iSMART baru-baru ini menyahut cabaran dengan menyertai dan memeriahkan acara New Akademia Learning Innovation (NALI) 2024.

Berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru, pasukan tersebut berjaya membawa pulang dua anugerah sempena NALI 2024 Exhibition & Competition anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Inovasi iSMART yang dihasilkan Rafiuddin dan pasukannya berjaya dinobatkan sebagai NALI Best Of The Best Award.

Anugerah pertama adalah Gold Award dan kedua, NALI Best Of The Best Award.

Penganjuran program peringkat antarabangsa itu mendapat sambutan dari dalam dan luar negara.

Penyertaan kali ini terdiri daripada golongan pendidik, pelajar dan penyelidik dari pelbagai institusi seperti Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), kolej, sekolah serta agensi kerajaan dan wakil luar negara.

iSMART adalah kumpulan inovasi PdP yang diusahakan bersama oleh Ismalyza Mt. Arif dan Edzreen Syahira Jamil dari Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual; Irinah Abdullah dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Ts. Rafiuddin Rohani dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut Rafiuddin, iSMART merupakan pendigitalan bahan rujukan dalam Bahasa Melayu disertai Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang penting untuk pelajar OKU (Pekak) Sijil Kemahiran Politeknik (Rekabentuk Grafik) bagi kursus Ilustrasi.

iSMART merupakan pendigitalan bahan rujukan dalam Bahasa Melayu yang disertai Bahasa Isyarat Malaysia.

“Penggunaan mobile apps sebagai medium yang lebih interaktif dapat menarik minat pelajar berkeperluan khas melalui proses PdP dengan lebih efisyen dan dapat meningkatkan motivasi dalam mengejar kecemerlangan ilmu.

“Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai persediaan menghadapi cabaran alam kerjaya selepas tamat pengajian kelak,” jelas Rafiuddin yang kini dalam usaha menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan.

Tambah beliau, sejujurnya penganugerahan itu sangat di luar jangka dan menganggapnya sebagai hadiah daripada Allah setelah pasukannya berjuang memastikan pendidikan untuk semua dapat direalisasikan.

“Anugerah ini sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada murid berkeperluan khas untuk mendapatkan pendidikan di politeknik.

“Cabaran utama dalam pembangunan iSMART ini ialah untuk menyediakan video Bahasa Isyarat bagi setiap medium ilustrasi mengikut silibus yang disediakan. Buku rujukan sedia ada hampir keseluruhannya menggunakan medium Bahasa Inggeris dan tidak disertai bahasa isyarat.

Sebahagian peserta termasuk golongan pendidik yang menyertai program tersebut.

“Justeru, harapan kami sebagai penyelidik yang bergabung merentas jabatan ini dapat menyumbang kepada kelestarian pendidikan berterusan dan berpusatkan pelajar untuk yang memerlukan,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.

Rafiuddin ketika ini di bawah seliaan Prof. Madya Ts. Dr. Azanizawati Ma’aram, sedang membangunkan kerangka baharu untuk mengenal pasti tahap kesihatan mental golongan remaja dengan penggunaan kecerdasan buatan.

Itu juga salah satu intipati penting yang terarah kepada kemenjadian pelajar yang merupakan pelapis kepimpinan masa hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button