Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Ugut bunuh jiran letak kereta hadapan rumah, kerani didenda RM3,500

AMPANG JAYA – Tindakan seorang lelaki membuat ugutan bunuh dan mahu mencederakan jirannya kerana meletakkan kenderaan di hadapan rumah suspek membawa padah apabila dia ditahan polis di Taman Ampang Hilir, Pandan Indah di sini, pada 8 November lalu.

Lebih malang lagi, suspek yang merupakan seorang kerani pentadbiran syarikat swasta itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selepas ujian air kencing dilakukan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam berkata, berdasarkan laporan, suspek berusia 32 tahun itu dikatakan mengugut pengadu ketika berlaku pertengkaran mulut dengan suspek.

Pertengkaran itu melibatkan pengadu dan isteri bersama suspek dan isterinya.

“Semasa pertengkaran berlaku, suspek masuk ke dalam rumah dan semula dengan membawa sebilah pisau dan mengacukan kepada pengadu serta mengugut untuk mencedera dan membunuh pengadu.

“Pada 11 November lalu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya menahan suspek bersama sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semakan polis juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Susulan itu, polis menahan reman suspek selama empat hari bermula 12 November sehingga semalam.

“Dalam pertuduhan di Mahkamah Ampang, suspek mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM3,500.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan ugutan jenayah.

Show More

Related Articles

Back to top button