Perkahwinan dan perceraian: Antara harapan dan realiti
SEBAIK lafaz ijab dan kabul terlaksana, setiap pasangan yang berkahwin pastinya mempunyai impian untuk terus bersama dan bercinta hingga ke syurga.
Ini kerana perkahwinan sering diibaratkan sebagai perjalanan indah yang penuh dengan harapan dan kebahagiaan. Ia menjadi lambang penyatuan dua jiwa yang berjanji untuk saling melengkapi dan mendukung sepanjang kehidupan.
Namun dalam mengemudi bahtera rumah tangga, banyak gelora yang mungkin terpaksa dilalui mereka lantaran tidak semua perkahwinan berjalan seperti yang diimpikan. Realiti kehidupan berumah tangga kadangkala diwarnai dengan cabaran, konflik dan dugaan yang membawa kepada keputusan yang tidak mudah iaitu perceraian.
Bagi pasangan yang mampu menangani badai ujian dalam kehidupan, perkahwinan yang terbina akan berjaya dipertahankan. Sebaliknya bagi mereka sudah tiada persefahaman, rumah tangga mereka ibarat retak menanti belah.
Dalam masyarakat kita, perkahwinan dilihat sebagai sunnah yang mulia, tetapi perceraian juga diizinkan sebagai jalan keluar terakhir bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.
Menurut Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek, Islam mewajibkan amar makruf nahi mungkar, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemudaratan. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa perceraian itu perkara yang halal dan dibenarkan meskipun tidak digalakkan.
“Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak’.
“Sebahagian ulama menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa sebaiknya jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak selagi mana terdapat padanya keluasan iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. Tetapi perlu kita fahami dan apa yang diperintahkan Allah berkenaan talak menerusi firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 229 yang bermaksud: ‘… atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik’.
Jelas Siti Rugayah, Imam Al-Syaukani RA berkata, menceraikan dengan cara yang baik iaitu dengan tidak merujuknya sampai selesai tempoh iddahnya, melepasnya ke rumah keluarganya dengan perkataan yang baik dan memberinya mut’ah (hadiah atau harta). Sikap ini penting bagi memastikan hak-hak kedua-dua suami dan isteri tetap terjaga.
Paling utama bagi pasangan yang telah bercerai, mereka seharusnya bertindak menjaga aib diri dan pasangan dengan sebaiknya. Namun, kebanyakan yang berlaku dewasa ini sangat membimbangkan apabila pasangan yang sudah bercerai begitu gemar membuka aib masing-masing dan menyebarkannya secara terbuka di media sosial.
“Islam sangat melarang membuka aib sesiapa pun termasuk diri sendiri. Seseorang yang berakhlak dengan akhlak Islam sudah tentu tidak akan menyebarkan aib orang lain terutama pasangannya sama ada setelah bercerai atau pun tidak. Malah, ganjaran orang yang menutup aib orang lain sangat tinggi di sisi Allah SWT. Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah akan menutup aibnya di Hari Kiamat.
“Rasulullah SAW juga menjelaskan balasan yang akan diterima mereka yang suka mencari keaiban orang lain melalui sabda Baginda SAW: ‘Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun ia berada di dalam rumah.’ Panduan akhlak ini jelas untuk menjaga hubungan sesama manusia demi keharmonian yang berterusan,” jelas beliau lagi.
Ditanya tentang adab-adab yang boleh diikuti jika mendengar berita tentang runtuhnya sesebuah rumah tangga, Siti Rugayah memberitahu terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan oleh umat Islam.
“Pertama sekali seandainya yang bercerai itu orang yang kita kenali dan boleh diberi nasihat, maka kita berikanlah panduan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Namun, seandainya kita tidak dapat melakukan apa-apa, adalah lebih baik kita diam kerana di antara tanda kebaikan seseorang Muslim adalah meninggalkan hal-hal yang tidak bermanfaat.
“Kedua, doakan kebaikan buat mereka yang teruji kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik. Dan ketiga, jauhi diri kita daripada berprasangka walaupun kita mengenali mereka lantaran apa yang berlaku hanya mereka dan Allah sahaja yang tahu.
Akhir sekali, elakkan mencari-cari kesalahan atau menyebarkan cerita mereka kepada orang lain kerana ia boleh membawa kepada menyebarkan aib,” terang beliau.
Ungkapnya lagi, jika sesebuah perkahwinan tidak dapat diselamatkan (berakhir dengan perceraian), setiap pasangan perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak yang berkaitan sahaja.
“Perlu diingat, wanita ada tempoh iddahnya selepas bercerai. Mereka masih ada hak, begitu juga suami tetap ada haknya lagi. Di Malaysia, kita perlu membuat laporan kepada pihak berkaitan seperti pejabat agama atau mahkamah syariah untuk pengesahan,” ujar Siti Rugayah.
Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah SWT telah menyatakan melalui firman-Nya dalam Surah At-Talak, ayat 6 yang bermaksud:
‘Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya’.
“Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri. Sungguhpun ikatan pernikahan telah putus akibat jatuh talak, Islam masih memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung di antara satu sama lain dengan batas-batas pergaulan yang diharuskan oleh hukum Syarak.
“Matlamat ini amat murni bagi memastikan hak-hak bekas suami isteri dan anak-anak terus dilindungi,” kata Siti Rugayah menutup bicara.
Tips mengekalkan kebahagiaan dalam perkahwinan
1. Banyakkan berdoa semoga Allah SWT menjaga hubungan baik antara pasangan hingga ke akhir hayat.
2. Solat berjemaah dengan pasangan adalah paling utama.
3. Suami dan isteri perlu tahu tanggungjawab mereka dan melaksanakan dengan penuh rasa keabdian kepada Allah kerana itu perintah Allah bukan permintaan pasangan. Hak masing-masing perlu dijaga sebaiknya.
4. Saling melaksanakan syura (perbincangan) walaupun sekecil-kecil perkara kerana anggapan perkara itu kecil atau besar tidak sama daripada seorang dengan seorang yang lain. Mungkin perkara itu besara di pihak isteri tetapi suami menganggap kecil juga boleh menimbulkan perselisihan.
5. Setiap pasanga perlu saling menjaga akhlak; sabar, jujur, amanah, qanaah, menjauhi sifat mazmumah; dengki, dendam, irihati, khianat dan marah melampau.
Perkara yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah selepas perceraian.
1. Nafkah Iddah
2. Mut’ah
3. Harta sepencarian
4. Hak jagaan anak (Hadhanah)
5. Nafkah anak
6. Tunggakan nafkah
7. Hak tempat tinggal