MCMC, MPOB bekerjasama majukan inisiatif teknologi masa depan sawit
CYBERJAYA – Gangguan komunikasi dan pemindahan data yang tidak lancar di kawasan ladang kelapa sawit sejak sekian lama berjaya diatasi melalui Kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, pencapaian itu dicapai menerusi kejayaan menyelesaikan cabaran keterhubungan dalam ladang sawit dan inisiatif AgriNXT: Oil Palm Chapter (OPC).
Kerjasama ini telah berjaya menangani isu kritikal keterhubungan dalam ladang kelapa sawit. Buktinya, kanopi pelepah pokok kelapa sawit yang tebal telah menjadi halangan ketara sejak sekian lama, namun begitu dengan kemajuan yang diperkenalkan isu keterhubungan ini berjaya diselesaikan lantas membolehkan komunikasi dan pemindahan data yang lancar.
“Acara Unveiling AgriNXT: OPC mengukuhkan kerjasama strategik antara MCMC dan MPOB, yang dimeterai melalui pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) pada Februari 2023.
“Di bawah MoU ini, kedua-dua pihak komited untuk mempercepatkan penerapan teknologi masa depan dalam industri sawit.
“Kerjasama ini telah berjaya menangani isu kritikal keterhubungan dalam ladang kelapa sawit. Buktinya, kanopi pelepah pokok kelapa sawit yang tebal telah menjadi halangan ketara sejak sekian lama, namun begitu dengan kemajuan yang diperkenalkan isu keterhubungan ini berjaya diselesaikan lantas membolehkan komunikasi dan pemindahan data yang lancer,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, inisiatif AgriNXT: OPC merupakan satu pertandingan yang disasarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula yang berhasrat untuk untuk mempercepatkan pembangunan dan penerapan teknologi maju bagi industri kelapa sawit.
“Pernyataan-penyataan masalah untuk AgriNXT: OPC direka khusus oleh pihak MPOB untuk menguji penyelesaian keterhubungan di bawah kanopi sawit.
“Para pemenang untuk pertandingan ini iaitu Myventures Digital Sdn Bhd, Mind Mechatronic Intelligent Design Sdn Bhd, HSS ProPick Technologies Sdn Bhd, Info Trax Sdn Bhd dan A2tech Sdn Bhd masing-masing menerima RM75,000 untuk membangunkan penyelesaian bagi pernyataan masalah yang spesifik.
“Antara penyelesaian yang diterokai termasuklah pemerkasaan laporan mesin, mengenal pasti kematangan buah dengan kecerdasan buatan (AI), serta menggunakan dron dan teknologi kawalan jauh untuk navigasi ladang,” katanya.
Katanya, penyelesaian yang berjaya itu telah dipersembahkan pada 28 November 2023 lalu di Ibu Pejabat MPOB ketika fasa pertandingan dan kemudiannya telah diuji secara rintis dari 5 hingga 7 Ogos lalu di Stesen Penyelidikan MPOB di Kluang, Johor.
“Ini memberikan ruang untuk menguji penyelesaian mereka dalam persekitaran nyata selain mendapatkan maklum balas daripada pakar industri, sekali gus mengukuhkan lagi keberkesanan penyelesaian inovatif ini dan penyelesaian keterhubungan di bawah kanopi sawit.
“MPOB dan MARCOP menekankan keperluan untuk menerapkan teknologi digital bagi mengatasi cabaran industri dan mengekalkan daya saing global,” katanya.