Berita Semasa

30 rakyat Malaysia terperangkap di Sudan selamat tiba di KLIA

SEPANG – Sebanyak 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di Khartoum, Sudan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kesemua rakyat Malaysia itu diselamatkan menerusi misi Ops Sudan Malaysia yang dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dan Pasukan Khas (TF).

Katanya, beliau berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah membantu kepulangan rakyat Malaysia dengan selamat dari kawasan yang dilanda konflik itu.

“Terima kasih kepada pasukan operasi di Malaysia dan Sudan. Pasukan di Sudan diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil telah berjaya memastikan rakyat kita dapat dikeluarkan dengan selamat.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan Arab Saudi, Presiden UAE yang memberi perhatian yang khusus terhadap rakyat Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghadiri satu sidang media di hadapan pintu masuk VIP Lounge, Aras lima KLIA hari ini selepas menyambut kepulangan 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau yang mengikuti perkembangan supaya operasi yang dilakukan berjalan lancar termasuk menghubungi pemimpin yang terlibat dalam pertikaian di sana dan atas usaha itu kita telah berjaya laksanakan misi kita walaupun sukar,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hadapan pintu masuk VIP Lounge, Aras lima KLIA hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, selain daripada menyelamatkan rakyat Malaysia, Malaysia juga telah berjaya membantu mengeluarkan rakyat daripada negara lain seperti Filipina, Palestin, Thailand Singapura, Kemboja dan Amerika Syarikat.

“Seperti yang saya umumkan selain daripada usaha mengeluarkan rakyat Malaysia seramai 30 orang kita juga membantu mengeluarkan rakyat dari negara lain, kita juga dapat keluarkan rakyat Singapura bersama dengan pasukan Malaysia.

“Semalam Menteri Luar Singapura menghubungi saya secara peribadi untuk menyampaikan penghargaan dan ada juga rakyat Amerika, Kemboja dan Sudan yang kita tolong keluarkan. Semalam juga Perdana Menteri Kemboja mengucapkan penghargaan kepada Malaysia dalam satu sidang media,” katanya lagi. 

Show More

Related Articles

Back to top button