Luar Negara

40 termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel di Lubnan

BEIRUT – Sekurang-kurangnya 40 orang, termasuk beberapa kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel ke atas Lubnan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Serangan udara itu dilancarkan berikutan operasi darat oleh tentera Israel di kawasan pinggir selatan ibu kota Beirut pada malam sebelumnya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dalam serangan di bandar pesisir Tyre pada lewat malam Jumaat.

“Operasi menyelamat sedang dijalankan dan bahagian tubuh mangsa yang ditemui akan menjalani ujian DNA untuk tujuan pengecaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Tentera Israel sebelum itu mengarahkan penduduk di beberapa kawasan agar berpindah namun tiada sebarang arahan dikeluarkan melalui media sosial X sebelum serangan pada malam Jumaat tersebut.

Menurut kementerian itu lagi, serangan udara di beberapa bandar berhampiran turut menyebabkan 13 kematian termasuk tujuh petugas perubatan dari kumpulan penyelamat yang menyokong Hizbullah dan sekutunya, Amal.

“Kira-kira 20 lagi orang dilaporkan terkorban dalam serangan Israel di dataran timur, sekitar bandar bersejarah Baalbek,” tambahnya lagi.

Tentera Israel dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa mereka menyasarkan kemudahan infrastruktur Hizbullah di Tyre dan Baalbek, termasuk pangkalan pejuang, ‘pangsapuri operasi’, serta gudang senjata.

Tentera Israel turut melancarkan puluhan serangan di pinggir selatan Beirut, kawasan padat yang menjadi kubu kuat utama Hizbullah.

Susulan serangan itu banyak bangunan dilaporkan musnah. Bendera Hizbullah berkibar di antara runtuhan dengan beberapa tingkat bangunan runtuh dan perabot bertaburan di kawasan letak kereta aras bawah memperlihatkan kesan kemusnahan yang nyata akibat serangan.

Show More

Related Articles

Back to top button