Luar Negara

Tiga kali dinafikan ikat jamin, P Diddy tawar RM219.7 juta, rumah agam RM210.9 juta

NEW YORK – Selepas tiga kali dinafikan ikat jamin, pemuzik dan penerbit terkenal antarabangsa, Sean ‘Diddy’ Combs menawarkan pakej ikat jamin baharu AS$50 juta iaitu kira-kira RM219.7 juta termasuk rumah agamnya yang bernilai RM210.9 juta di Florida.

Tawaran daripada Sean ‘Diddy’ Combs atau lebih dikenali sebagai P Diddy itu bagi membolehkan dia bebas dari penjara Brooklyn selepas ditahan selama lapan minggu atas tuduhan jenayah pemerdagangan seks.

Penafian ikat jamin pemuzik itu sebelum ini dikatakan atas sebab Hakim berpendapat dia mungkin berisiko untuk mengganggu saksi.

Pada 17 September lalu, P Diddy mengaku tidak bersalah atas tuduhan bahawa dia menggunakan empayar perniagaannya termasuk label rekodnya Bad Boy Entertainment bagi mengangkut wanita dan pekerja seks lelaki merentasi negeri, untuk mengambil bahagian dalam persembahan seksual yang dirakamkan dipanggil “Freak Offs”.

Dalam perkembangan yang sama, permohonan P Diddy untuk menghalang pengadu daripada bercakap secara terbuka mengenai perkara kes itu ditolak Hakim Daerah AS Arun Subramanian, semalam.

Peguam bela P Diddy, Alexandra Shapiro memohon Subramanian melepaskan Combs pada bon AS$50 juta yang akan disokong oleh rumah selebriti itu di Miami bernilai AS$48 juta (kira-kira RM210.9 juta) dan ditandatangani bersama oleh beberapa ahli keluarganya.

Shapiro juga mencadangkan Combs dipantau sepanjang masa oleh anggota keselamatan, dikenakan tahanan rumah, dan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa atau saksi yang didakwa. Perbicaraan dijadualkan pada 5 Mei.

Shapiro juga berhujah, adalah mustahil untuk Combs bersedia untuk perbicaraan dari sebalik penjara kerana jumlah dokumen yang “sangat banyak” untuk disemak, terutamanya tanpa komputer riba.

Dia turut berhujah persiapannya telah dihalang oleh keadaan di penjara, termasuk penguncian yang kerap dan juga pegawai mengambil pen yang dia gunakan untuk mencatat nota.

“Penahanan melucutkan sebarang peluang sebenar untuk bersedia untuk perbicaraan, melanggar haknya di bawah Perlembagaan AS,” kata Shapiro, lapor Reuters.

Show More

Related Articles

Back to top button