Baru tiba di Lubnan, anggota MALBATT 850-12 cedera dalam letupan
KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan seramai enam orang anggota Malaysian Battalion 850 (MALBATT 850) cedera selepas terlibat dalam kejadian letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan semalam.
Menurut ATM dalam satu kenyataan, kejadian itu berlaku pada jam 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.
“Letupan tersebut telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
“Akibat kejadian tersebut, seramai enam orang anggota MALBATT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota melibatkan MALBATT 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan seorang lagi melibatkan anggota MALBATT 850-11 yang juga mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11.
“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.