‘Paksa semua penduduk Gaza pindah ke Semenanjung Sinai’ – Kementerian Perisikan Israel
BAITUL MAQDIS – Kementerian Perisikan Israel mencadangkan kesemua 2.2 juta penduduk Palestin di Tebing Gaza “dipaksa pindah” secara tetap ke Semenanjung Sinai di Mesir.
Cadangan itu terkandung dalam satu dokumen 10 muka surat bertarikh 13 Oktober 2023 yang tertera logo kementerian tersebut.
Untuk rekod, kementerian itu bertanggung jawab menerbitkan kertas kajian dan cadangan bagi dikongsikan dengan badan perisikan, pihak tentera dan kementerian lain, dan berperanan dalam membentuk polisi pihak berkepentingan.
Walaupun peranan kementerian itu dianggap tidak signikan, kewujudan kertas cadangan itu menunjukkan rejim zionis telah menyediakan satu cadangan terperinci mengenai idea pemindahan paksa penduduk dan sudah diangkat ke peringkat perbincangan dasar rasmi.
Dokumen tersebut antara lain mengandungi tiga cadangan mengenai masa depan Tebing Gaza sejurus kempen Iron Sword rejim zionis di wilayah itu ditamatkan.
Pilihan pertama adalah “mengekalkan populasi sedia ada dan membawa masuk pemerintahan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA)”; pilihan kedua iaitu “mengekalkan populasi sedia ada dengan kerajaan Arab baharu”; diikuti pilihan ketiga “memindahkan kesemua penduduk Gaza ke Sinai.”
TERJEMAHAN – Israeli Intelligence-Ministry-Policy-Paper-on-Gaza-s-Civilian-Population-October-2023
Bagaimanapun, pilihan pertama dan kedua dianggap tidak sesuai kerana “tidak mempunyai implikasi signifikan dan tidak mempunyai kesan pencegahan dalam menjamin keselamatan negara Israel.”
Pilihan ketiga dianggap mempunyai kesan strategik jangka panjang yang boleh dilaksanakan “dengan menggunakan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan negara pro-Israel bagi mendapatkan kekuatan politik dalam berdepan tekanan antarabangsa.”
Pilihan ketiga itu mencadangkan supaya “kesemua penduduk awam dipindahkan ke Sinai dan tinggal dalam ‘bandar khemah’, yang mana kemudiannya kesemua pelaria itu akan diserap ke bandar-bandar di utara wilayah itu.”
Dokumen itu turut mencadangkan diwujudkan “satu zon penampan dengan keluasan beberapa kilometer (km) bagi menghalang penduduk asal kembali dan melakukan aktiviti rutin di kawasan sempadan dengan Israel.”
Pada masa yang sama, “kerajaan di seluruh dunia dengan diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), perlu digerakkan bagi melaksanakan langkah itu.”