Berita SemasaPolitik

Bertanding sendiri: Ahmad Zahid minta AMANAH Johor fokus bantu rakyat

BANGI – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor supaya mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding cita-cita politik untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum/Negeri (PRU/PRN akan datang.

Ahmad Zahid berkata, tempoh untuk pilihan raya di Johor masih lama dan parti politik itu perlu menggunakan masa yang ada untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya fikir pilihan raya masih lama lagi, jangan terlalu sibuk berpolitik. Sebaiknya kita fokus untuk bantu rakyat dahulu,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa partinya tidak menolak kemungkinan berlaku persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam PRN dan PRU akan datang, memandangkan Johor masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mengumumkan hasrat AMANAH untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sama ada dalam kerjasama bersama BN atau dengan gabungan asal, PH.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyerahkan kepada pimpinan AMANAH untuk membuat keputusan mengenai kemungkinan kerjasama politik di Johor.

“Kita serahkan kepada kepemimpinan parti berkenaan untuk tentukan,” katanya lagi.

Hubungan antara AMANAH dan UMNO Johor dilaporkan semakin tegang akhir-akhir ini dengan AMANAH dilihat konsisten mendesak Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, agar mempertimbangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri tersebut.

Ketegangan itu juga ketara semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang lalu, apabila AMANAH menggesa agar calon mereka diberi peluang bertanding dalam PRK tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button