Berita Semasa

KKDW fokus baik pulih rumah uzur di Kedah

BALING – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memberikan tumpuan terhadap pembinaan dan baik pulih rumah di daerah ini berikutan kawasan itu telah 11 kali dilanda banjir sepanjang penggal Pilihan Raya Umum (PRU14) lepas.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pembinaan rumah tersebut juga merangkumi kediaman uzur khususnya di negeri Kedah.

Kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, usaha tersebut merupakan antara inisiatif kementeriannya dalam memastikan rakyat di negeri itu mendapat kediaman yang selesa untuk didiami.

Tambahnya, beberapa kawasan penempatan yang mempunyai rumah daif dan rumah uzur di bawah tanggungjawab KKDW telahpun dikenal pasti, namun kementerian masih menunggu senarai lengkap daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

“Kita telah ada (jumlah rumah daif dan uzur di Kedah) tetapi jumlah ini mungkin tidak lengkap sebab kita hanya mengikut senarai eKasih.

“Sehubungan itu kita masih menunggu senarai lengkap untuk mengetahui jumlah sebenar yang memerlukan bantuan pembaikan (rumah) ataupun membina baharu ini,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian selepas program tinjauan mesra di Desa KEDA Sadek di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW melalui KEDA telah membina lapan unit rumah berkembar Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) di penempatan Desa KEDA Sadek di sini pada tahun lepas, yang melibatkan peruntukan RM528,000.

Show More

Related Articles

Back to top button