Dakwa beracun: KKM pantau anggur Shine Muscat
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sedang memantau keselamatan makanan import, termasuk anggur jenis Shine Muscat yang dilaporkan mengandungi residu racun perosak melebihi tahap maksimum dibenarkan (MRL), seperti yang didedahkan oleh The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN).
KKM berkata, pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited untuk memantau dan memastikan makanan import mematuhi piawaian keselamatan di bawah Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan berkaitan.
“Di Malaysia, residu racun perosak dikawal di bawah Peraturan 41, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang merujuk kepada standard Codex antarabangsa.
“Berdasarkan data KKM dari tahun 2020 hingga September 2024, sebanyak 5,561 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan import telah diuji, dan 165 sampel atau 2.97 peratus didapati melanggar kadar MRL,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
KKM turut berkata, bagi sampel buah anggur secara khusus, sebanyak 234 sampel telah dianalisis dalam tempoh yang sama dan hanya 1.71 peratus didapati melanggar MRL, namun ia tidak melibatkan anggur jenis Shine Muscat dan langkah kawalan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PKKM, termasuk penarikan balik produk, pelupusan, re-eksport dan pendakwaan ke atas kes-kes yang gagal mematuhi piawaian MRL.
“Tindakan pemeriksaan ‘Tahan, Uji dan Lepas’ (TUL) akan dikenakan terhadap makanan import yang tidak memenuhi piawaian pada kemasukan berikutnya. Di bawah prosedur itu, setiap konsainan makanan yang disyaki perlu menjalani ujian dan hanya akan dilepaskan jika analisis menunjukkan kepatuhan kepada MRL.
“Sekiranya terdapat pelanggaran MRL yang berulang, KKM akan mengambil langkah tegas dengan mengenakan larangan pengimportan terhadap konsainan yang tidak mematuhi piawaian,” katanya lagi.
Kenyataan itu memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa KKM akan terus memantau dan bertindak ke atas makanan import demi keselamatan pengguna tempatan.