Berita SemasaDalam Negeri

Kerajaan akan gubal akta berkaitan pekerja sektor gig akhir tahun ini

PUTRAJAYA – Satu akta baharu berkaitan pekerja sektor gig akan digubal akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggubalan akta berkenaan jelas menunjukkan keseriusan kerajaan membela 1.16 juta pekerja sektor berkenaan.

“Akta ini akan memberi perlindungan sosial kepada pekerja gig dan kita memerlukan sokongan bukan hanya sekretariat (ekonomi gig) tetapi keseluruhan 1.16 pekerja sektor ini.

“Ini (penggubalan akta berkaitan pekerja gig) bukan soal politik, kita buta warna (dalam membela nasib rakyat). Tidak kiralah apa warna (sokongan politik) sekali pun yang penting adalah kepedulian terhadap rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia MADANI, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi GiG Malaysia, Datuk Seri Mohd Shakar Shamsudin.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Haswandi Ahmad.

Ahmad Zahid kemudiannya menambah, keputusan itu turut meletakkan Malaysia sebagai negara terawal menggubal perundangan khusus membabitkan pekerja sektor berkenaan.

“Malaysia adalah antara lima negara yang menubuhkan suruhanjaya ekonomi gig di seluruh dunia dan menjadi terawal akan membentangkan akta (berkaitan) pekerja gig,” katanya lagi.

Akta berkenaan akan dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selepas RUU Perbekalan 2025 selesai dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Antara yang akan diperincikan termasuk aspek keselamatan pekerja gig dan perlindungan yang bukan terhad kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi turut membabitkan PERKESO.

Show More

Related Articles

Back to top button