Berita Semasa

Semua pegawai, anggota Maritim Malaysia tandatangani SSPA

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah bersama 4,757 pegawai dan anggota agensi ini dari seluruh negara selesai menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menurut Mohd Rosli, SSPA merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperbaharui dan memperkasakan sistem perkhidmatan awam di Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan SSPA dilihat akan memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam dan Maritim Malaysia menyambut baik pelaksanaan sistem saraan baharu ini.

“Inisiatif ini merupakan langkah penting yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mereformasi struktur saraan pegawai awam.

“SSPA bukan sahaja memperkenalkan penambahbaikan dari segi struktur gaji dan imbuhan, tetapi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta peluang peningkatan kerjaya yang lebih jelas kepada anggota perkhidmatan awam, termasuk Maritim Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu pelaksanaan menandatangani opsyen SSPA warga Maritim Malaysia dimulakan dengan sesi taklimat kepada pegawai dan anggota di seluruh negara bermula 30 September hingga 17 Oktober lalu.

Proses kemudiannya diteruskan dengan sesi menandatangani borang opsyen SSPA pada 21 Oktober lalu bermula pengurusan tertinggi Ibu Pejabat Maritim Malaysia sehingga peringkat anggota pelaksana yang berakhir pada 25 Oktober lalu.

Opsyen SSPA warga Maritim Malaysia merujuk kepada dua Pekeliling Perkhidmatan iaitu perkhidmatan penguat kuasa maritim dan perkhidmatan gunasama.

 

Show More

Related Articles

Back to top button