Ribut Trami: Malaysia kerah aset udara ke Filipina
PUTRAJAYA – Malaysia menghantar 16 kru bersama sebuah helikopter EC725 ke Filipina bagi membantu misi bantuan kemanusian susulan ribut tropika Trami yang mengorbankan 46 nyawa dan menjejaskan puluhan ribu penduduk.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dalam kenyataan berkata, misi itu dikerah selepas Filipina mengemukakan nota diplomatik untuk mendapatkan bantuan aset udara dan logistik.
Beliau berkata, pasukan yang berlepas dari Pangkalan Udara Labuan itu tiba di Pangkalan Udara Villamor di Manila pada pukul 2.48 petang tadi.
Katanya, tempoh penugasan bagi penghantaran barangan bantuan ke kawasan terjejas itu adalah selama lapan hari sehingga 2 November ini.
“Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara bersama-sama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia dan Malawakil Malaysia di Filipina melaksanakan koordinasi bantuan kemanusiaan dan bencana.
“Sebagai tindakan segera, Malaysia menawarkan kepada Filipina satu pesawat C-130 Hercules bagi tujuan mobilisasi udara barangan bantuan ke kawasan yang terjejas serta Pasukan SMART yang bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat,” menurutnya.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara itu berkata, Malaysia komited untuk bekerjasama erat dengan Filipina dalam misi bantuan puluhan ribu penduduk negara itu yang terjejas akibat banjir besar susulan hujan lebat.
Semalam, media antarabangsa melaporkan angka korban akibat Trami yang membadai Filipina minggu ini meningkat kepada 46 orang dan sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang.
Sembilan wilayah di negara itu melaporkan kematian dengan Bicol yang terletak di tenggara Manila dan paling terjejas akibat taufan itu, mencatatkan jumlah korban tertinggi iaitu 28 orang diikuti Calabarzon (15).
Laporan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana Asean merekodkan tujuh kematian manakala sejumlah 197,000 mangsa dipindahkan dan kira-kira 2.8 juta penduduk terjejas akibat bencana itu.
Trami, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, melintasi Luzon dan mengakibatkan kemusnahan besar dengan bencana banjir serta tanah runtuh di Bicol dan Calabarzon.