Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua pegawai PPD ditahan SPRM berkait rasuah projek bernilai RM600,000

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan yang bertugas di sebuah pejabat pendidikan daerah di Sabah kerana disyaki menerima rasuah untuk projek selenggara dan pembaikan sekolah bernilai RM600,000.

Menurut Harian Metro yang memetik sumber, suspek lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 40an itu ditahan kira-kira jam 3 petang semalam, ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Kata sumber itu, SPRM juga mendapat kebenaran untuk menahan reman kedua-dua suspek sehingga 30 Okt ini.

“Suspek dipercayai menerima sejumlah rasuah pada 2023 hingga 2024 melalui kemasukan wang ke akaun bank milik proksi.

“Suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk berpakat melantik beberapa pembekal dalam urusan perolehan secara pembelian terus dan sebut harga bagi pembekalan bahan mentah penyelenggaraan dan pembaikan sekolah-sekolah di daerah berkenaan,” katanya memetik sumber.

Tambahnya, tangkapan itu susulan penahanan seorang pemilik perniagaan semalam kerana disyaki mengemukakan dua tuntutan palsu bernilai kira-kira RM45,000.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kudat, Verdon Bahanda mendedahkan isu kartel penyelewengan dana sekolah membabitkan pejabat pendidikan daerah sewaktu ucapan perbahasan dasar Belanjawan 2025 di Parlimen dan menggesa SPRM menjalankan siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button