Jenayah & Mahkamah

Kibar bendera China: Perarakan dibuat tanpa permit – polis

IPOH – Polis mengesahkan perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mempamerkan bendera negara asing diadakan tanpa permit.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam disertai kira-kira 400 penonton.

“Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Azizi berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 12.39 tengah malam tadi.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Beliau juga menasihati mereka yang ingin menganjurkan perhimpunan agar menghantar permohonan kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang boleh menimbulkan kacau ganggu dan menggugat ketenteraman awam, dengan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda hingga RM10,000 mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, jika sabit kesalahan.

Hari ini, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh sekumpulan individu pada malam perarakan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan semalam.

Pengerusi persatuan itu Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

 

Show More

Related Articles

Back to top button