Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pesara rugi RM478,050 terpedaya pelaburan tidak wujud

KUANTAN – Seorang pesara berusia 69 tahun mengalami kerugian besar apabila wang pelaburannya sebanyak RM478,050 lesap selepas terjebak dalam pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki tersebut tertarik dengan tawaran pelaburan melalui Facebook atas nama ‘MMCT Pro’ pada 16 Julai lalu.

“Mangsa kemudian diminta memuat turun aplikasi pelaburan yang disediakan oleh suspek dan diberi latihan melalui aplikasi WhatsApp. Suspek meyakinkan mangsa bahawa pelaburan tersebut dapat memberi keuntungan sehingga 300 peratus.

“Dalam tempoh 10 September hingga 22 Oktober lalu, mangsa membuat pemindahan wang melalui mesin deposit tunai (CDM) sebanyak RM478,050 dalam 33 transaksi kepada empat akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa mula menyedari kemungkinan penipuan apabila gagal mengeluarkan wang yang dilaburkan. Menurut Yahaya, sumber kewangan mangsa berasal daripada simpanannya sendiri. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Yahaya turut mengingatkan masyarakat agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi. Beliau mengesyorkan orang ramai membuat semakan nombor akaun yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi.

Show More

Related Articles

Back to top button