Jenayah & MahkamahLuar Negara

Pelajar Malaysia disabitkan membunuh bayi di United Kingdom

LONDON – Seorang pelajar Malaysia, Teo Jia Xin, 22, disabitkan atas kesalahan membunuh selepas meletakkan bayi yang baru dilahirkannya dalam kotak bijirin sebelum menyembunyikannya dalam beg pakaian di United Kingdom.

Jia Xin tiba dari Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Coventry, London. Bayi tersebut, yang dilahirkan cukup bulan pada 4 Mac lalu, ditempatkan dalam kotak bijirin dan ditutup dengan beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam beg pakaian, memetik laporan FMT.

Jia Xin dilaporkan telah pergi ke hospital dengan tanda-tanda baru melahirkan anak namun pada mulanya menafikan perkara itu ketika disoal kakitangan hospital. Dua hari kemudian, dia mengaku telah melahirkan bayi tersebut dan memberitahu pihak polis lokasi bayi yang disembunyikan.

Polis berkata, Jia Xin tidak mendapatkan bantuan perubatan sewaktu bersalin dan melahirkan bayi itu di rumah, malah merahsiakan kehamilannya daripada rakan serumah bagi mengelak pengetahuan keluarga dan rakan-rakan di Malaysia, yang dibimbangi akan menjejaskan pelajarannya.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Warwick, Jia Xin mendakwa mendengar suara yang mengarahkannya untuk mencederakan atau membunuh bayi tersebut, namun juri menolak pembelaannya.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa bayi itu masih hidup sejurus dilahirkan dan mempunyai peluang untuk terus hidup, namun Jia Xin mengambil tindakan yang menyebabkan kematian bayi itu dengan meletakkannya dalam kotak bijirin.

Tarikh hukuman terhadap Jia Xin akan ditetapkan oleh mahkamah dalam masa terdekat.

Show More

Related Articles

Back to top button