Polis tahan wanita dikehendaki, dipercayai dalang penipuan jualan emas
KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang wanita yang dikehendaki berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit ditahan, semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, wanita dikenali sebagai Siti Hajartul Haini Abd Hamid itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas semalam.
Katanya, suspek berusia 37 itu ditahan sebaik tiba ke negara ini dari Dubai.
“Suspek direman di Mahkamah Alor Setar hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, lebih 100 mangsa terpaksa menanggung kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan harga emas 916 yang lebih rendah dari pasaran oleh wanita dikenali Siti Hajartul Haini Abd Hamid sejak dua bulan lalu.
Kebanyakan mangsa yang bekerja di satu unit di sebuah hospital awam di Lembah Klang selain guru di beberapa negeri, turut diburu kerana menjadi orang tengah yang mengumpul wang berkenaan.
Sama seperti skim kutu yang memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawarkan dengan harga murah sehingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara mara, rakan dan peminjam wang tanpa lesen semata-mata merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.