Automatif & TeknologiBerita Semasa

Batik Air perluas jaringan penerbangan ke Kota Bharu

KUALA LUMPUR – Batik Air hari ini melancarkan penerbangan sulung ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (SZB) dalam usaha memperluaskan pilihan destinasi domestik dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, usaha berterusan pihaknya memperluaskan rangkaian laluan itu dibuat bagi memenuhi permintaan laluan udara yang semakin meningkat ke negeri Pantai Timur itu.

“Kami melihat permintaan yang semakin meningkat untuk sambungan lebih baik antara kawasan timur laut dan tengah negara dan laluan baharu ini adalah respons terus kepada permintaan tersebut.

“Ia menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar, sama ada untuk pelancong mahupun urusan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chandran berkata, laluan itu juga merupakan alternatif yang lebih pantas dengan kemudahan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang lebih hampir dengan pusat bandar Kuala Lumpur.

“Batik Air menggunakan pesawat Boeing 737 yang menawarkan keselesaan kepada penumpang, di samping penerbangan harian yang memberi lebih fleksibiliti,” katanya lagi.

Penerbangan sulung dari Kota Bharu diserikan dengan majlis pelepasan istimewa yang mana para penumpang turut menerima cenderamata istimewa daripada pihak Tourism Malaysia sebagai usaha mempromosikan destinasi pelancongan domestik.

Majlis pelepasan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor, Pengurus Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kamarul Bahri Mohamad dan Pengurus Lapangan Terbang Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), Suhaimi Mohd Sani.

Sementara itu, penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad, dalam satu acara khas yang mempamerkan hospitaliti negeri Selangor dan mengajak pelancong untuk menerokai kepelbagaian budaya dan tarikan negeri itu.

Penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad,

Laluan Kota Bharu–Subang itu mengukuhkan lagi rangkaian Batik Air yang terus berkembang, dengan lebih banyak destinasi akan diperkenalkan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dalam masa terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Batik Air di www.batikair.com.

Show More

Related Articles

Back to top button