Ulama didakwa rancang rampasan kuasa Turkiye pada 2016, meninggal dunia
DUBAI – Ulama Muslim Turkiye, Fethullah Gulen yang didakwa bertanggungjawab ke atas cubaan rampasan kuasa pada tahun 2016, meninggal dunia di Amerika Syarikat di mana beliau tinggal.
Berita kematian Allahyarham, 83, dilaporkan oleh media tempatan dan sebuah portal yang berkaitan dengan Gulen, kata al-Jazeera.
Herkul, sebuah laman web yang menerbitkan khutbah Gulen, menyatakan di akaun X mereka hari ini bahawa Gulen meninggal dunia petang semalam di hospital di mana beliau sedang menerima rawatan.
Gulen membina Hizmet, sebuah gerakan Islam yang berpengaruh di Turkiye dan luar negara, tetapi hidup dalam buangan sejak 1999.
Allahyarham pernah menjadi sekutu pemimpin Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, namun perselisihan di antara mereka memuncak apabila Gulen dinamakan sebagai perancang utama insiden rampasan kuasa terhadap kerajaan pimpinan Erdogan pada 2016.
Insiden tersebut menyaksikan sekitar 250 orang terbunuh, dengan majoritinya terdiri daripada rakyat Turkiye dan anggota polis.
Gulen, bagaimanapun terus menafikan penglibatannya dalam cubaan rampasan kuasa tersebut.