Berita Semasa

Kebebasan ahli akademik dipertahan sepenuhnya

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, kebebasan ahli akademik untuk bersuara dan memberi pandangan tidak akan disekat selama mereka berpegang kepada etika dan disiplin ilmu masing-masing.

Beliau berikrar untuk menjadi ahli Kabinet pertama yang akan membantah sebarang bentuk sekatan bersuara ke atas ahli akademik di negara ini.

“Saya akan pastikan kebebasan ahli akademik untuk menyuarakan pandangan mereka tidak dikekang. Jika ada sekatan, saya akan menjadi orang pertama dalam Kabinet yang menentang perkara itu,” katanya semasa merasmikan Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia, di sini hari ini.

Zambry turut mengulas mengenai isu memo dalaman yang dikeluarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat.

“Saya faham mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh UKM baru-baru ini. Walaupun ia memo dalaman, ia telah menjadi perbualan masyarakat. Malaysiakini beri tajuk ‘Memo Leak By Maszlee’. Saya pun kasihan pada Maszlee,” katanya merujuk kepada mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Selain mempertahankan kebebasan bersuara, Zambry turut menekankan bahawa ahli akademik haruslah menyuarakan pandangan mereka berdasarkan penyelidikan, bukti, dan disiplin ilmu.

“Ahli akademik kita tidak bercakap secara sembrono. Setiap pandangan mereka mestilah berasaskan kepada kajian, fakta, dan data,” katanya lagi.

Zambry juga berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang meneliti semula akta yang berkaitan dengan disiplin universiti, termasuk perkara 605, untuk memastikan kebebasan akademik terus dipertahankan.

Konvensyen hari ini turut menyentuh peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun hadapan, dengan pendidikan tinggi akan menjadi fokus utama dalam perbincangan serantau.

“ASEAN kini bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi selepas mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN, satu langkah yang disokong kuat oleh Malaysia” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pelbagai inisiatif akan diumumkan bagi memperkukuhkan pendidikan tinggi di ASEAN menjelang pembentangan Belanjawan 2025.

Show More

Related Articles

Back to top button