Berita Semasa

Dewan Rakyat luluskan RUU pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Keputusan itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas seramai 206 Ahli Parlimen bersetuju, satu tidak bersetuju, manakala 14 tidak hadir.

“Jumlah ialah seramai 221, manakala satu lagi tidak mengundi kerana digantung,” umum Johari.

Pindaan RUU itu memperuntukkan hak sama rata kepada kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, tidak seperti sebelum ini, hanya jika bapanya seorang warganegara.

Pada sesi penggulungan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan akan mempercepatkan permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan.

Beliau berkata, semua permohonan kewarganegaraan sedang diproses akan diputuskan selewat-lewatnya pada 17 Oktober tahun depan.

Walau bagaimanapun, Saifuddin memaklumkan, pihaknya telah meluluskan sebanyak 19,317 permohonan kewarganegaraan, semalam.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan kelulusan sejak tahun lalu adalah 32,153 permohonan, dengan 80 peratus membabitkan kes yang melebihi lima tahun,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Saifuddin, keputusan permohonan juga akan dimaklumkan dalam tempoh setahun memandangkan prosedur pengendalian standard permohonan telah ditambah baik pihak kerajaan.

“Bagi memastikan proses permohonan kewarganegaraan itu telus, satu prosedur operasi standard (SOP) juga telah dibangunkan, terutama bagi permohonan paling tinggi Perkara 15A iaitu anak tak sah taraf, anak angkat, anak jagaan dan 19(1) iaitu permohonan naturalisasi.

“Pada hari ini saya nak sebut bahawa SOP bagi kedua-dua fasal ini juga telah siap kita sediakan dan diberi kelulusan oleh Jemaah Menteri,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button