Berita Semasa

Longkang tersumbat dikenal pasti antara punca tanah runtuh di Taman Melawati

AMPANG – Longkang tersumbat disahkan antara punca berlakunya kejadian tanah runtuh di Jalan E6 dan Jalan G2 Taman Melawati, dekat sini pagi tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata, longkang tersumbat itu menyebabkan aliran air telah berlaku di lereng bukit berkenaan dan amaran tahap bahaya juga telah dikeluarkan semalam.

“Saya telah mendapatkan maklumat daripada pasukan Jabatan Kerja Raya dan dimaklumkan kejadian gelinciran tanah telah berlaku di Jalan E6 dan Jalan G2 di Taman Melawati, Selangor pada jam 10.15 pagi tadi.

“Semakan awal juga mendapati aliran air berpunca dari kegagalan sistem pengaliran longkang di Jalan G2, Taman Melawati yang tersumbat.

“Pihak Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR juga telah mengeluarkan amaran tahap Bahaya kepada JKR Daerah Gombak dan Hulu Langat pada jam 4.37 petang semalam (14 Oktober 2024) bagi mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau telah mengarahkan supaya pemantauan berterusan dijalankan di lokasi runtuhan.

“Sebanyak empat buah rumah dan sebuah kereta telah dikenal pasti terkesan akibat kejadian gelinciran tanah ini. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Saya juga telah mengarahkan pasukan CKC JKR untuk ke tapak bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci situasi di kawasan terjejas.

“Saya memohon semua penduduk untuk mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button