Program HASiL Your Tax Buddy bentuk mahasiswa celik cukai
KUANTAN – Seramai 100 peserta terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Univerisiti Islam Antarabangsa (UIAM), di sini, menyertai Program HASiL Your Tax Buddy (HYTB@IPT).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Hisham Rusli berkata, program yang telah masuk siri kelima pelaksanaannya itu merupakan kolaboratif antara LHDN dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Jelas beliau, program tersebut diadakan bagi membentuk generasi celik cukai dalam kalangan mahasiswa yang seterusnya mampu meningkatkan tahap pematuhan cukai secara sukarela.
“LHDN sentiasa berusaha meningkatkan pematuhan cukai dalam kalangan generasi muda menerusi penganjuran Program HASiL Your Tax Buddy (HYTB@IPT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Hisham Rusli merasmikan HYTB@IPT yang kini memasuki siri jelajah ketiga di UIAM, kampus Kuantan.
Hadir sama, Pengarah (Pentadbiran) UIAM, Khairulzain Abd Rahman; Pengarah LHDN Negeri Pahang, Ruslan Othman serta pegawai-pegawai kanan LHDN dan UIAM.
Dengan pendekatan yang inovatif, Program HYTB@IPT telah dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu HASiL Pocket Talk dan HASiL Taxplorace.
Program ini juga turut mengiktiraf peranan mahasiswa bagi bersama-sama meluaskan kesedaran percukaian dengan melantik dua orang peserta sebagai duta HYTB@IPT untuk membantu menyebarkan maklumat percukaian yang diterima daripada HASiL kepada
seluruh warga IPT.
Mengulas lanjut, Hisham Rusli berkata, pendidikan percukaian perlu ditanam kepada semua masyarakat terutama generasi muda sebagai landasan terbaik kepada mereka untuk menjadi pembayar cukai yang bertanggungjawab dan menyemai semangat patriotik cintakan tanah air.
“Pelaksanaan program ini juga seiring dengan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT yang menekankan kepentingan pengintegrasian elemen pendidikan keusahawanan dalam kurikulum lebih-lebih lagi di persekitaran ekonomi yang sangat kompetitif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hisham Rusli berkata, pihaknya percaya bahawa pendidikan yang holistik akan menyumbang kepada pembentukan usahawan muda serta dapat melahirkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi dan
berintegriti.
“Diharap penganjuran program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan meningkatkan kesedaran kepentingan cukai kepada generasi muda demi memastikan pembangunan negara sekali gus menyokong usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.