Berita Semasa

Paksa sewa khemah di Pantai Teluk Kemang: Kerajaan Negeri Sembilan ambil tindakan lebih tegas

PORT DICKSON – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap peniaga yang masih berdegil menyediakan perkhidmatan sewa khemah di sepanjang pantai Port Dickson.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri, J. Arul Kumar berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk merampas khemah haram yang dipasang di kawasan bukan persendirian.

Jelas beliau, MPPD sebelum ini pernah melakukan sitaan, tetapi terdapat pengusaha lain yang dikesan menceroboh lokasi tersebut.

“Disebabkan itu, sudah tiba masanya untuk tidak bertolak ansur dan MPPD akan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sektor pelancongan di Port Dickson.

“Pemasangan khemah itu sendiri memang tidak dibenarkan oleh undang-undang tempatan di pantai awam kerana ia adalah tanah kerajaan untuk rakyat bebas melakukan aktiviti rekreasi,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Tambah J. Arul, konsep khemah pada asalnya hanya boleh dipasang atas permintaan pengunjung yang mahu berteduh daripada sinaran matahari.

Malangnya, ada yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan memaksa pengunjung untuk menyewa khemah berkenaan.

Terdahulu, tular tindakan penyedia perkhidmatan khemah biru di Pantai Teluk Kemang yang didakwa melarang para pengunjung meletakkan tikar di kawasan tersebut.

Hal ini sekali gus mengundang rasa tidak puas hati orang ramai memandangkan kawasan umum tidak sepatutnya dijadikan tempat menjalankan perniagaan.

Show More

Related Articles

Back to top button